Monday, April 17, 2006

Dari Editor: Muafakat Membawa Berkat.

Sebulan yang lalu, perdana menteri kita Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ada membentangkan Rancangan Malaysia Ke-7. Pelbagai pandangan dapat kita dengar. Rata-ratanya melihat kepada pemberian nafas baru kepada Dasar Ekonomi Baru yang digagaskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, perdana menteri kita yang kedua.
Rancangan Malaysia ke-7 ataupun pada sesetengah arkitel menyifatkannya sebagai 'Misi Nasional' melihat kepada perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia sebagai tunjak utamanya. Selain itu, dalam beberapa hal yang lain, turut ditekankan tentang pembangunan desa dan luar bandar, merapatkan jurang ekonomi dan kemajuan antara bandar dan luar bandar. Perkara inilah yang dilihat seolah-olah memberi nafas baru kepada Dasar Ekonomi Baru(DEB).
Telah lebih 10 tahun kita risau tentang keberkesanan DEB ini sebenarnya. Saban hari kita melihat satu demi satu media massa mendedahkan pekung yang selama ini tersimpan di dada. Lantas, hal ini membawa kepada perdebatan, forum yang amat panjang yang saya rasakan sehingga kini belum lagi menemui jalan penyelesaiannya.
Antara yang kerap dijadikan modal adalah ekuiti Bumiputera yang masih lagi belum mencapai sasaran sebanyak 30%. Menurut perangkaan terbaru, Bumiputera hanya berpuas hati dengan 18.4% penguasaan ekuiti pada tahun 2004 yang lepas. Perkara ini berlarutan hinggakan ramai yang tertanya adakah dasar ini masih lagi relevan untuk diterima pakai.
Namun pada pendapat saya, dasar ini tidak gagal sepenuhnya. Jika kita melihat pada objektifnya untuk mengurangkan kadar kemiskinan, dasar ini telah menunjukkan satu perkembangan yang amat memberangsangkan. Kadar kemiskinan secara keseluruhan telah berjaya diturunkan ke 5% pada tahun 2004. Ini merupakan satu pencapaian yang hebat dibandingkan dengan 17.1% pada tahun 1990.
Berkata tentang DEB, mengingatkan saya pada usaha-usaha awal Allahyarham Tun Abdul Razak dalam merealisasikan dasar ini. Ketika Malaysia berada di saat-saat getir 13 Mei, beliau berjaya memulakan langkah-langkah drastik merapatkan jurang ekonomi seterusnya menyelesaikan tunjang masalah utama iaitu perpaduan kaum. Pada tahun-tahun awal perlaksanaan, kita sendiri menyaksikan betapa dasar ini berjaya mencapai matlamatnya.
Pada hemat saya muafakat memainkan peranan yang amat penting. Seingat saya, zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan satu zaman yang mana menyaksikan seluruh parti-parti Melayu bersatu di bawah UMNO termasuklah PAS dan Semangat 46 sendiri. Perpaduan dan permuafakatan yang ditunjukkan nyata membuahkan hasil apabila kita melihat sendiri wujudnya satu momentum yang kuat ke arah pembangunan ekonomi Bumiputra dan pembasmian kemiskinan. Saya sendiri mengakui menaikkan ekuiti Bumiputera daripada angka yang sangat rendah (2.4%) dan membasmi kemiskinan dari tahap yang sangat tinggi (52%) bukanlah satu perkara yang mudah.
Sekarang sudah sampai masanya kita mengambil berat pada negara kita sendiri. Hampir 50 tahun telah berlalu, dan kita perlu melakukan keajaiban sekali lagi. Memetik kata-kata Professor Diraja Ungku Aziz.
" Kepada saya, ini adalah masalah mindset. Kita harus menukar mindset itu..."
Ya, mindset atau cara berfikir masyarakat Melayu itulah yang harus ditukar. Kita terlalu banyak fikirkan perbezaan daripada persamaan. Kita lebih suka bertelegah tentang diri kita sendiri. Tanpa kita sendiri banyak daripada masa kita dihabiskan untuk perkara ini daripada mengunakannya untuk memajukan diri kita sendiri.
"Ikan di gunung, asam di lautan,
sampai masa ketemu jua"
Kita perlu muncul dengan pendekatan yang baru, bergaduh pada perkara yang tidak membawa faedah, keras kepala dan taklid pada perkara yang sia-sia tidak akan membawa kita kemana-mana. Ramai antara kita lebih sanggup bertahan dengan ideologi masing-masing daripada memberi peluang kepada pembaharuan.
Mengapa tidak kalau kita menerima perubahan dan kita implementasikannya dengan cara kita sendiri. Sejarah pernah membuktikan misalnya betapa Dasar Pasaran Bebas benar-benar mendatangkan situasi menang-menang kepada negara kita sendiri dan apa yang lebih membanggakan kita lakukan dengan cara kita sendiri.
"Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh"
"Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing"
"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat"
Kita semua tahu tentang peribahasa tersebut. Nenek moyang kita telah lama mengingatkan kita tentang peri pentingnya permuafakatan bersama. Tidak banyak yang perlu kita lakukan sebenarnya, hanya satu dinding ego yang perlu dirobohkan bersama.
Atas sebab itulah, kami di sini mahu memulakannya dari kelompok yang kecil ini. Menyedari yang ramai antara kita daripada pelajar-pelajar berpotensi besar yang mampu menerajui tampuk kepimpinan negara satu masa nanti, kami rasakan kita perlu bersatu untuk kemashlahatan kita bersama.
Nama persatuan boleh menjadi apa sahaja, boleh bertukar menjadi apa sahaja tetapi bukan itu yang harus kita pandang. Matlamat dan arah tujuannya, itu yang lebih penting. Saya menyeru dan mengharap sepenuh sokongan kalian semua rakan perjuangan pada penubuhan kelab ini. Bersama-sama kita bina masa depan negara yang lebih cerah.
"Selamat Maju Jaya Kelab UMNO Volgograd"

Aktiviti Pertama Kelab UMNO Volgograd!

Tarikh :8 Mei 2006 (hari sebelum День победы, selepas kelas)

Masa :
6.30-9.00 petang (akan berubah mengikut kesesuaian)

Aktiviti :
Sukaneka - ahli dibahagikan mengikut kumpulan
BBQ - daging, ayam, sotong, sosej bakar

Sukarelawan (anda main juga!) amat diperlukan.

Sila berikan nama kepada Saudara Khairul atau mana-mana AJK

Semua warga Melayu dan Bumiputera dijemput hadir.

Kerajaan Islam Dalam Diri Sendiri

Petikan daripada pamplet kelab UMNO Volgograd
Penulis: Azhar Bin Osman(Naib Pengerusi Kelab UMNO Volgograd)


Sebelum kita memperkatakan tentang kerajaan Islam bertaraf negara, lebih baik kita memperkatakan tentang kerajaan Islam dalam diri sendiri kerana itu lebih utama untuk diberi perhatian. Mengapa? Ini memang telah diperintahkan Allah di dalam Al-Quran sebagaimana firmanNYA, “Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka”.

Cara ini juga yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W 1400 tahun dahulu. Baginda tidak terus bermula dengan jemaah besar atau masyarakat mahupun negara baginda mulakan secara kecil-kecilan dahulu dari satu kepada dua seterusnya tiga dan sehingga boleh menjadi jemaah. Kemudian daripada itu barulah membesar sehingga boleh tertegaknya negara Islam. Firman Allah, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (kerajaan dalam diri)”. Ayat ini bermaksud Allah akan mengubah luaran kita, keadaan kita baik diri kita, keluarga kita, ekonomi kita mahupun pelbagai bentuk kehidupan kita jika kita sendiri betulkan kerajaan dalam diri kita. Inilah yang menjadi hujah sebahagian ulamak juga, bahawa “tegakkan Islam dalam kerajaan diri, insyaAllah, nanti akan tertegak Islam pada negara”. Sebabnya, bermula dari satu kerajaan diri, kemudian kepada dua kerajaan diri hingga banyak kerajaan diri dapat ditegakkan Islam, maka akan tertegaklah Islam pada satu jemaah. Dari jemaah akan tertegak Islam dalam masyarakat. Dan dari masyarakatlah nanti, akan membawa Islam ditegakkan pada tahap negara. Mahu tidak mahu, kena bermula dari kerajaan diri.

Kerajaan dalam diri, diri ini, rajanya adalah hati. Hati itu dialah yang mengawal dan memerintah kerajaan diri. Anggota badan seperti tangan, kaki, mulut dan kepala adalah rakyat yang taat setia. Apa kata raja akan diikuti tanpa bantahan oleh rakyat. Baik raja, baiklah rakyat. Sebaliknya, jika jahat raja, jahatlah rakyat. Segalanya bergantung pada raja. Raja ini pula, dia ada penasihat atau guru, itulah akal namanya. Akal berperanan mendidik raja.


Nafsu pula adalah orang jahat dalam kerajaan diri. Nafsu sentiasa mencari-cari peluang untuk mempengaruhi hati. Kalau hati sebagai raja mendapat guru yang tidak berwibawa, jawabnya hati akan dapat dipengaruhi nafsu. Jadilah raja itu boneka sahaja dalam kerajaan diri. Nafsu akan bertindak memberi arahan-arahan yang melawan perintah Allah. Apabila nafsu memberi arahan jahat, Raja ikut sahaja. Jadilah rakyat seperti tangan dan kaki menjadi jahat juga. Terjebak dalam maksiat dan membuat kemungkaran. Jadi, amat penting kita mengislamkan kerajaan diri. Mengislamkan akal, nafsu dan hati yang sangat berperanan ke atas kerajaan di dalam diri. Baik kerajaan di dalam diri, baiklah di luar.


Itulah sahaja yang dapat diperkatakan di sini tentang kerajaan dalam diri. Sudah kita tahu, sudah kita mendapat ilmunya, jangan bertangguh lagi. Masing-masing ada kerajaan dalam diri. Masing-masing perlu bertanggungjawab pada kerajaan dalam diri sendiri. Islamkanlah kerajaan dalam diri kita itu. Moga-moga cepat proses ini berlaku, akan cepatlah Islam pada negara menjadi kenyataan.

Saturday, April 15, 2006

Ucapan Pengerusi Kelab UMNO Volgograd

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum saya ucapkan kepada sahabat seperjuangan sekalian. Syukur kepada Allah s.w.t., tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana mengizinkan penubuhan Kelab UMNO Volgograd sebagai wadah aktiviti pelajar Melayu dan Bumiputera di Volgograd ini. Dipohon agar segala kata-kata, wajah, perbuatan yang dilahirkan oleh kelab ini diredhai-Nya dan diterjemah dalam erti yang baik oleh sahabat handai.

Seringkali kita dengar luahan rakan-rakan kita betapa bosannya hidup sebagai pelajar perubatan di bandar Volgograd ini. Terutamanya dengan banyak belajar ditambah pula dengan suasana persekitaran yang tidak dapat menyediakan aktiviti kehendak orang muda zaman sekarang ini. Sejurus dengan itulah, daripada azam kecil sekumpulan pelajar, ianya telah menjadi realiti dengan berlangsungnya mesyuarat pertama AJK Penaja Kelab UMNO Volgograd pada 2 April lepas. Kelab UMNO Luar Negara adalah antara inisiatif parti UMNO dalam visi untuk mencipta generasi muda negara yang bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memiliki akhlak yang mulia, peribadi yang tulus dan jati diri yang kukuh. 2 visi ini telah terjawab dengan tertubuhnya Kelab UMNO Volgograd.

Tidak lengkap ucapan saya jika saya tidak menyebut nama saudara Falah sebagai orang pertama yang melaksanakan inisiatif untuk menubuhkan kelab ini. Atas sebab-sebab tertentu dan persetujuan bersama, usaha ini diteruskan oleh saya dan AJK Penaja yang lain. Namun, apa yang lebih penting dan perlu ditekankan adalah bukan kami, tetapi pemilik kelab yang sebenar, ahli-ahli Kelab UMNO yang mendaftar dan memberi sokongan dalam usaha menubuhkan kelab ini. Sokongan anda amat kami hargai.

InsyaAllah, Kelab UMNO Volgograd akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menarik untuk anda dan diharap anda semua akan melibatkan diri. Kelab secara serius ingin mendengar idea dan maklum balas dari ahli-ahli kelab sama ada untuk dilaksanakan ataupun memperbaiki sebarang kekurangan. Ingatlah bahawa kelab ini adalah milik semua dan andalah yang bertanggungjawab dan menentukan hala tuju kelab. Namun, nasihat saya, hormatilah dan berikan kerjasama yang membina kepada AJK Kelab UMNO Volgograd dan ahli-ahli yang lain.

Salam tahniah kepada semua yang menjayakan penubuhan Kelab UMNO Volgograd, Bandar Pahlawan.

Azzad Bin Hamzah

Mesyuarat Pertama Kelab UMNO Volgograd

Pada 2 April 2006 yang lalu bertempat di Hostel No.4 Hiroshima 8 telah diadakan mesyuarat pertama Kelab UMNO Volgograd. Mesyuarat yang julung-julung kali diadakan ini dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa penaja kelab.

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi kelab, saudara Azzad bin Hamzah. Antara lain ucapan beliau banyak berkisar tentang hala tuju dan matlamat sebenar penubuhan kelab ini. Beliau juga ada menyentuh tentang status kelulusan pemohonan kelab ini di seketeriat Kelab UMNO Luar Negara.

Selain daripada itu beberapa resolusi telah dicapai dalam mesyuarat ini. Antaranya ialah:

  1. Penetapan yuran tahunan kelab sebanyak 200 ruble
  2. Penubuhan Blogspot kelab bagi menyebarkan maklumat terkini dari kelab
  3. Cadangan mengadakan jamuan petang 'Hi-Tea' kepada semua ahli kelab.
  4. Cadangan mengadakan aktiviti riadah musim bunga sempena cuti sambutan Hari Kemenangan (день победи)

Antara yang menarik tentang mesyuarat ini adalah usul untuk mengadakan aktiviti riadah musim bunga. Menurut apa yang didengar aktiviti riadah tersebut bakal diadakan sekitar petang dan malam. Beberapa aktiviti bakal dijalankan antaranya adalah 'Treasure Hunt' dan 'Malam Barbeque'. Namun butiran lanjut tentang aktiviti tersebut masih belum diketahui dan masih dalam perbincangan.

Majlis ditutup dengan pemberitahuan tarikh mesyuarat akan datang dan pemberian tugas antara ahlijawatankuasa.






AHLIJAWATANKUASA


AHLIJAWATANKUASA PENAJA
KELAB UMNO VOLGOGRAD

PENGERUSI

Azzad bin Hamzah

NAIB PENGERUSI

Azhar bin Osman

SETIAUSAHA

Noor Sharizat binti Abdullah

NAIB SETIAUSAHA

Adib bin Mat Isa

BENDAHARI

Khairul bin Mohd Khalid

PENOLONG BENDAHARI

Sabarinah binti Sapdi

AJK

Ahmad Aizudeen bin Zakaria

Mohamad Fadli bin Khairie

Friday, April 14, 2006

Tahniah!

Ahli Kelab UMNO Volgograd kini 80 puluh orang. Tahniah buat semua!

Tahniah!

Ahli Kelab UMNO Volgograd kini 80 puluh orang. Tahniah buat semua!

OBJEKTIF DAN MISI

KELAB UMNO VOLGOGRAD
PENDAHULUAN
Sejajar dengan jumlah mahasiswa Melayu yang semakin bertambah di Volgograd maka sebuah persatuan dirasakan perlu untuk diwujudkan bagi memantau aktiviti dan menyatupadukan seluruh pelajar Melayu yang bermastautin di sana.
2 April 2006 merupakan antara detik-detik awal yang memperlihatkan langkah-langkah muda kelab ini dalam mencapai matlamat utama penubuhannya. Pada tarikh tersebut mesyuarat pertama ahli jawatankuasa penaja Kelab UMNO Volgograd telah pun selamat diadakan.
Melihat kepada usia kelab yang masih muda dan perlunya satu medium penyebaran maklumat yang cepat kepada seluruh ahli kelab maka satu keputusan telah dibuat bagi menubuhkan 'weblog' persatuan. Blog yang diperbaharui dari semasa ke semasa akan memberi maklumat terkini tentang pergerakan kelab ini dan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

OBJEKTIF PENUBUHAN
Matlamat utama penubuhan kelab ini adalah bertujuan untuk menjadi satu wadah yang dapat menyatupadukan seluruh masyarakat Melayu yang bermastautin di Volgograd.
Kelab ini juga turut diharapkan dapat bertindak sebagai pemudah cara antara pihak universiti dan ahli kelab seterusnya menjalinkan kejersama yang baik antara kedua-dua belah pihak.
Selari dengan perkara itu, kelab ini diharapkan dapat menaikkan lagi manhaj dan nama baik negara seterusnya memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat setempat khususnya dan antarabangsa umumnya.
MISI
  1. Mendukung dan mempertahankan kedaulatan negara, Perlembagaan Negara dan Raja Berpelembagaan.
  2. Mempertahan, menegak dan mengembangkan agama Islam di samping menghormati prinsip kebangsaan beragama.
  3. Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berasaskan Kebudayaan Melayu.
  4. Menyatupadukan masyarakat Melayu di Volgograd seterusnya menjamin kesejahteraan masa depan masyarakat Melayu atau bumiputera.
  5. Menjadi tempat perkongsian idea, maklumat dan pendapat antara ahli.
  6. Menjalankan segala aktiviti yang mungkin bagi merapatkan silaturrahim antara ahli.
  7. Mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak atau organisasi yang boleh membantu ke arah merealisasikan mtalamat murni kelab.

PENUTUP

Diharapkan kelab ini mendapat sokongan yang utuh terutama sekali daripada ahli-ahli kelab khususnya. Seterusnya memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan bersama dapat dicapai.