Wednesday, March 7, 2007

Gempa Bumi di Padang Indonesia

6 Mac -- Beberapa gegaran kecil telah berlaku di Padang, Indonesia pada sekitar tengahari tadi waktu Malaysia.

Dilaporkan bahawa tiada kemalangan ataupun kerosakan yang berlaku sepanjang gegaran kecil itu berlaku, walau bagaimanapun sumber dari Pengerusi Kelab UMNO Padang, Nor Haizura mengatakan berlaku seketika gangguan elektrik.


"Kepada semua pihak yang mempunyai kenalan ataupun keluarga di Padang tidak perlu bimbang kerana gegaran seperti ini sudah biasa berlaku", kata Nor Haizura lagi.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata sehingga kini pihaknya menerima laporan mengenai gegaran di dua negeri berkenaan terutama dirasakan oleh mereka dalam bangunan tinggi.

"Kejadian gempa itu berlaku pada 11.49 pagi tadi di Sumatera Selatan, Indonesia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Jurucakap itu menambah gempa bumi itu, bertahap sederhana berlaku 65km ke Barat Laut Padang Indonesia; 372km ke Barat Daya Melaka.

"Kejadian itu tidak memberi ancaman tsunami," katanya.

Monday, February 19, 2007

Monday, January 1, 2007

'2007 DETIK ISTIMEWA UNTUK NEGARA'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam mengajak rakyat negara ini menjadikan 2007 yang juga ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 sebagai tahun istimewa, dengan melakukan lebih baik daripada biasa dalam apa juga bidang mereka ceburi.


Timbalan Perdana Menteri, berkata rakyat tidak seharusnya menyambut 50 tahun kemerdekaan sebagai hanya satu perayaan semata-mata, sebaliknya menjiwai sepenuhnya sambutan itu.


“Mari jadikan tahun depan sebagai satu tahun istimewa bagi Malaysia.


“Istimewa bukan hanya perayaan tetapi dari segi peranan dan sumbangan serta apa saja yang kita lakukan sebagai warga negara Malaysia...kita lakukan sesuatu yang lebih daripada biasa,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2006 peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, berangkat melancarkan majlis yang dianjurkan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa).


Rumah terbuka itu adalah acara rasmi peringkat kebangsaan pertama yang dihadiri Tuanku Mizan sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.


Turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais; dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Dr Maximus Ongkili; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said.


Najib yang diminta mengulas lanjut harapannya itu berkata, rakyat perlu menterjemahkan perkara itu dalam bentuk meningkatkan peranan, kebolehan serta pencapaian masing-masing dan semangat itu mesti membara dalam setiap sanubari warga Malaysia.


“Jika bekerja, mungkin jadi seorang pekerja yang lebih produktif, lebih berdisiplin. Sebagai seorang ahli perniagaan, kita menjadi ahli peniaga yang berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mengembangkan perniagaan.


“Seorang petani boleh menjadi petani yang lebih tekun dan berjaya lagi. Kalau kita seorang pendidik, kita terpanggil untuk menjadi pendidik yang lebih sempurna,” katanya.


Terdahulu, beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berbangga kerana dapat hidup dengan aman dan dapat mengamalkan perayaan agama masing-masing.


“Paling bermakna, perayaan agama besar di Malaysia, diangkat menjadi perayaan peringkat nasional yang turut dihadiri ketua pemimpin negara,” katanya.


Beliau berkata, program rumah terbuka seperti itu harus diteruskan kerana ia mampu memupuk perasaan hormat-menghormati, selain memberi pendedahan mengenai kebudayaan kaum lain.