Saturday, May 13, 2006

Laporan Malam BBQ dan Sukaneka

Pada 9 Mei 2006 yang lalu telah diadakan acara tahunan julung-julung kali diadakan oleh Kelab UMNO Volgograd iaitu Malam BBQ dan sukaneka.

Aktiviti yang dinanti-nantikan ini memperlihatkan penglibatan seluruh warga Melayu dan bumiputera Volgograd yang rata-rata merupakan pelajar antara tahun pertama hinggalah tahun kelima. Acara ini diadakan di perkarangan Hostel Hiroshima yang sememangya menjadi tempat perkumpulan dan penganjuran aktiviti untuk pelajar-pelajar Malaysia Volgograd.

Meskipun keadaan cuaca yang agak dingin dengan suhu purata sekitar 15 darjah celcius beserta hujan renyai pada pagi itu. Namun, ia tidak meluntur semangat peserta untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut. Meskipun, 5 minit sebelum majlis bermula, ramai orang boleh dilihat telah pun memenuhi perkarangan Hostel.

Acara dimulakan dengan pengagihan peserta kepada 10 kumpulan. Sejurus selepas doa dibacakan, nyanyian lagu Negaraku dinyanyikan dengan penuh bersemangat secara beramai-ramai.

Selepas taklimat sukaneka diberikan, acara sukaneka dimulakan. Beberapa pertandingan berjaya dilaksanakan antaranya ialah memenuhkan air dalam botol, membawa bola pingpong dalam sudu, membina kumpulan baru, meniup belon sampai pecah hinggalah ke acara mencari gula-gula tepung.

Acara ala-ala 'keanak-anakan’ sengaja dipilih agar dapat meruntuhkan rasa malu antara peserta, mewujudkan suasana ceria sewaktu aktiviti dijalankan seterusnya merapatkan ukhwah antara peserta. Penglibatan peserta adalah amat memberangsangkan. Riuh-rendah suara peserta ketika menyokong ahli masing-masing, keadaan yang hingar bingar ketika meraikan kejayaan mahupun gelagat peserta yang rata-ratanya mencuit hati nyata banyak menyumbang kearah keceriaan dan keseronokan majlis

Acara tersebut kemudian disusuli dengan santapan juadah BBQ. Rata-rata peserta berpuas hati dengan hidangan yang disediakan yang terdiri daripada sosej bakar, daging, sotong, nasi, ayam dan kek coklat. Sedikit pun tak terlihat rasa penat pada wajah peserta walaupun selepas berhempas-pulas dalam acara sukaneka.


Beberapa minit selepas itu, aktiviti diteruskan dengan ucapan daripada pengerusi Kelab UMNO Volgograd, saudara Azzad Hamzah. Selain daripada ucapan terima kasih atas sambutan yang memberangsangkan daripada peserta, beliau turut menegaskan tentang peri pentingnya perpaduan antara seluruh warga Melayu Volgograd. Beliau turut menjelaskan tentang matlamat penubuhan kelab UMNO di Volgograd dan seterusnya menyeru kepada penyertaan seluruh warga Melayu Volgograd.




Acara ditutup dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan-kumpulan yang menang oleh pengerusi sendiri, saudara Azzad Hamzah diiringi oleh ketua projek Malam BBQ dan Sukaneka, saudara Khairul Mohd Khalid. Kumpulan 6 berjaya mengondol tempat pertama manakala tempat ke-2 dan ke-3 dimenangi oleh kumpulan 1 dan 2.

Rata-rata peserta ramai berpuas hati dengan aktivit yang dijalankan. Masing-masing pulang dengan senyuman, kegembiraan dan kepuasan yang jelas terpancar daripada wajah peserta. Apa yang lebih penting ukhwah antara warga Melayu Volgograd berjaya dieratkan. Semoga aktiviti-aktiviti sebegini dapat dijalankan lagi pada hadapan.


Aktiviti ini pada sudut pandangan yang lain:





2 comments:

neemo said...

AWESOME DAY! THANKS AGAIN!

For more pictures, please visit my fotopage here!

Kelab Umno Volgograd said...

Terima Kasih Haneem!