Saturday, April 15, 2006

Ucapan Pengerusi Kelab UMNO Volgograd

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum saya ucapkan kepada sahabat seperjuangan sekalian. Syukur kepada Allah s.w.t., tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kerana mengizinkan penubuhan Kelab UMNO Volgograd sebagai wadah aktiviti pelajar Melayu dan Bumiputera di Volgograd ini. Dipohon agar segala kata-kata, wajah, perbuatan yang dilahirkan oleh kelab ini diredhai-Nya dan diterjemah dalam erti yang baik oleh sahabat handai.

Seringkali kita dengar luahan rakan-rakan kita betapa bosannya hidup sebagai pelajar perubatan di bandar Volgograd ini. Terutamanya dengan banyak belajar ditambah pula dengan suasana persekitaran yang tidak dapat menyediakan aktiviti kehendak orang muda zaman sekarang ini. Sejurus dengan itulah, daripada azam kecil sekumpulan pelajar, ianya telah menjadi realiti dengan berlangsungnya mesyuarat pertama AJK Penaja Kelab UMNO Volgograd pada 2 April lepas. Kelab UMNO Luar Negara adalah antara inisiatif parti UMNO dalam visi untuk mencipta generasi muda negara yang bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran tetapi juga memiliki akhlak yang mulia, peribadi yang tulus dan jati diri yang kukuh. 2 visi ini telah terjawab dengan tertubuhnya Kelab UMNO Volgograd.

Tidak lengkap ucapan saya jika saya tidak menyebut nama saudara Falah sebagai orang pertama yang melaksanakan inisiatif untuk menubuhkan kelab ini. Atas sebab-sebab tertentu dan persetujuan bersama, usaha ini diteruskan oleh saya dan AJK Penaja yang lain. Namun, apa yang lebih penting dan perlu ditekankan adalah bukan kami, tetapi pemilik kelab yang sebenar, ahli-ahli Kelab UMNO yang mendaftar dan memberi sokongan dalam usaha menubuhkan kelab ini. Sokongan anda amat kami hargai.

InsyaAllah, Kelab UMNO Volgograd akan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menarik untuk anda dan diharap anda semua akan melibatkan diri. Kelab secara serius ingin mendengar idea dan maklum balas dari ahli-ahli kelab sama ada untuk dilaksanakan ataupun memperbaiki sebarang kekurangan. Ingatlah bahawa kelab ini adalah milik semua dan andalah yang bertanggungjawab dan menentukan hala tuju kelab. Namun, nasihat saya, hormatilah dan berikan kerjasama yang membina kepada AJK Kelab UMNO Volgograd dan ahli-ahli yang lain.

Salam tahniah kepada semua yang menjayakan penubuhan Kelab UMNO Volgograd, Bandar Pahlawan.

Azzad Bin Hamzah

No comments: