Thursday, November 30, 2006

Ajaran Rufaqa’ menyeleweng – Mufti

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA TERENGGANU 29 Nov. – Terengganu menjadi negeri yang pertama di Malaysia mengeluarkan fatwa bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ahli jemaah syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. dan gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mufti negeri, Datuk Ismail Yahya berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapati ajaran dan pegangan ahli jemaah syarikat tersebut menyerupai ajaran kumpulan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya kini dalam proses untuk mewartakan fatwa tersebut.

‘‘Kita kini dalam proses mewartakan keputusan ini dan ia dibuat kerana ajaran Rufaqa’ Corporation mempunyai persamaan dengan Al-Arqam yang diharamkan,” katanya.
Ismail menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri di sini hari ini.
Sabtu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan kira-kira 100 orang dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 13 Shah Alam kerana dipercayai mengamalkan ajaran yang menyamai pegangan Al-Arqam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau telah pun mengadakan pertemuan dengan Mufti Terengganu berhubung isu ajaran Rufaqa’ Corporation.

Katanya, perbincangan itu menyentuh beberapa aspek termasuk fatwa dan langkah pengawalan terhadap kumpulan Rufaqa’ di negeri ini.

‘‘Kita juga berbincang dengan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk menentukan bentuk operasi dan tindakan lanjut yang boleh diambil,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini.
Sementara itu, di SEREMBAN, kerajaan Negeri Sembilan sedang memantau tiga buah kumpulan yang berselindung di sebalik nama pertubuhan, kumpulan nasyid dan perniagaan untuk menghidupkan kembali Al-Arqam.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kegiatan kumpulan itu kini dipantau oleh Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) dan Majlis Keselamatan Negeri.

‘‘Kita memang menyedari kewujudan kumpulan ini dan sedang memantau kegiatan mereka. JAINS dan Majlis Keselamatan Negeri sentiasa menghantar laporan kepada kerajaan,” kata beliau.

Mohamad ditanya mengenai kumpulan Rufaqa’ yang cuba menghidupkan kembali ajaran Al Arqam dan kegiatan kumpulan itu yang kini tertumpu di kawasan Nilai Springs dan Seremban 2 di sini.

Kata Mohamad, bukan Rufaqa’ sahaja yang dikesan terlibat, beberapa kumpulan lain yang menggunakan nama lain turut didapati mempunyai matlamat yang sama.
Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sememangnya menyokong tindakan tegas kerajaan ke atas individu yang berusaha menghidupkan kembali Al-Arqam termasuk yang berselindung di sebalik perniagaan.
Walaupun Nik Aziz secara peribadi mengakui tidak mengetahui pergerakan Al-Arqam dengan terperinci, namun dari segi luaran, khususnya pakaian pengikut ajaran itu, beliau sudah boleh menilai sama ada mereka terpesong atau tidak.
Katanya, Islam tidak pernah menetapkan pakaian seragam hingga perlu berjubah dan berserban.

‘‘Islam tidak pernah ajar seperti itu. Nak pakai apa pun pakailah, nak berserban macam saya ke, nak pakai cara Melayu ke, Benggali ke, asalkan tutup aurat. Sebab itu saya kata Arqam ke, Rufaqa’ ke, sesat.

‘‘Sesat ini pun macam-macam, yang berfahaman nasionalis, memisahkan agama dengan politik juga sesat. Eloklah sama-sama bertaubat,” katanya.
Di ALOR STAR, kerajaan negeri Kedah dilaporkan sedang mengawasi dua buah perkampungan di negeri ini yang disyaki menjadi pusat mewujudkan semula kegiatan Al- Arqam.
Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dua perkampungan terbabit terletak di Pulau Pisang di Kubang Pasu dan Merbok, Kuala Muda.

‘‘Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN), Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan polis sentiasa memantau perkembangan kedua-dua perkampungan ini.

‘‘Kita dapati wujud elemen-elemen seperti kumpulan Al-Arqam dari segi pakaian dan cara hidup,” katanya.
Sementara itu di Sungai Petani, seorang penduduk meminta pihak berkuasa agama memantau aktiviti sekumpulan 100 orang yang sebahagiannya dipercayai orang luar yang cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Kampung Bukit Haji Omar, Merbok dekat sini.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, mereka bergiat aktif dengan berselindung di sebalik kegiatan perniagaan dan menternak ikan menggunakan nama Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd..
Beliau berkata, kegiatan tersebut dikesan sejak setahun lalu dengan kebanyakan ahlinya berasal dari luar kawasan kampung berkenaan.
Abdullah mendakwa perbuatan dan cara ibadah ahli kumpulan tersebut dikhuatiri bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

‘‘Mereka tidak bercampur dengan penduduk tempatan sedangkan surau dan masjid terletak hanya beberapa ratus meter dari tempat itu,” katanya.

utusan malaysia 28 November 2006

No comments: