Thursday, November 30, 2006

KELAB UMNO MAKIN POPULAR

Bilangan kelab kini telah mencecah 62 buah di seluruh dunia termasuk di Russia, Jepun, Korea dan Australia.Andai diteliti kepada sejarahnya, Kelab

UMNO Luar Negara ditubuhkan pada tahun 1956 di New York, Amerika Syarikat. Penubuhan ini bertujuan untuk menyatukan masyarakat Melayu dan para pelajar yang bermastautin di sana.

Namun begitu, sejarah penubuhan Kelab UMNO paling awal didokumentasikan dengan terperinci dikatakan mula bergerak aktif dan sistematik di United Kingdom pada tahun 1968.

Pada tahun 1970, beberapa Kelab UMNO bercambah ke negara-negara lain dengan matlamat dan tujuan yang sama. Berikutan bilangan pelajar dan orang Melayu yang terus meningkat untuk melanjutkan pelajaran atau bertugas di luar negara, UMNO telah memberikan tanggungjawab kepada seorang Ahli Majlis Tertinggi ( MT ) untuk memantau di bawah JAwatankuasa Hal Ehwal Khas Pelajar Luar Negara.

Pada mulanya, jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Tan Sri Megat Junid MEgat Ayob. Sekarang, ia disandang oleh Datuk Mohd Shafie Apdal.

"Kelab ini adalah satu landasan yang membolehkan generasi muda untuk melibatkan diri bukan ke dalam gelanggang politik tetapi sebuah organisasi seperti NGO atau kelab yang mampu memberi pengalaman dalam mengurus serta mentadbir.

"Maklum balas daripada pelajar luar negara cukup baik berbanding dahulu. Tidak lagi sukar untuk membuat mereka datang ke sebarang perjumpaan," jelas Pengerusinya, Datuk Mohd Shafie.

Menurut beliau, cabaran utama yang dihadapinya ialah hendak melihat aspirasi pelajar dan mendedahkan dasar-dasar kerajaan.

Pelajar yang tinggal di luar negara tahu bahawa ia sebuah kelab yang boleh mereka sertai. Bukan sekadar untuk mengetahui perkembangan negara atau polisi kerajaan, malah membolehkan mereka berdamping dengan pemimpin.

Bercerita tentang jumlah Kelab UMNO Luar Negara dan keahliannya, Shafie memberitahu di United Kingdom sahaja sudah mempunyai lebih 6,000 orang ahli. Sementara bilangan kelab telah mencecah 62 buah di seluruh dunia termasuklah di Russia, Jepun, Korea dan Australia.

Malah, banyak lagi Kelab UMNO yang telah membuat permohonan penubuhan khususnya di Eropah seperti di Jerman, Perancis, Switzerland dan di mana sahaja adanya ramai pelajar Melayu.

Ia nyata satu perkembangan positif berkaitan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO bukan sahaja dalam negara tetapi juga mereka yang berada di luar negara.

"Pendekatan akan datang ialah untuk membuat sedikit pembaharuan. Jika dahulu sebahagian besar programnyamenjurus ke arah kebajikan sosial dan menyampaikan maklumat tentang dasar kerajaan, tetapi kini kita akan beri tumpuan tentang bagaimana untuk mencurahkan ilmu.

"Ia bakal dilaksanakan menerusi program berunsur bicara seorang tokoh dalam bidang tertentu. Misalnya, bagaimana untuk mengatasi krisis ekonomi seperti yang berlaku pada tahun 1997. Jadi mungkin kita jemput Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk memberikan ceramah," katanya lagi.

Bagi Pengerusi Kelab UMNO Leeds dan Bradford, Najmil Faiz MOhamed Aris, 26, penglibatannya dalam kelab sebegini adalah didorong oleh semangat untuk membina kemahiran kepimpinan.

"Apabila berada dalam kelab, kita akan belajar bagaimana untuk mentadbir organisasi, bergaul dan menguruskan sesuatu majlis. Malah dalam kelab ini, ahli mempunyai peluang untuk berjumpa dengan para pemimpin negara.

"Ini sekali gus memberi peluang memperoleh tunjuk ajar, nasihat dan galakan daripada mereka secara langsung. Ia juga membolehkan kita membina rangkaian hubungan yang luas, memudahkan apa jua perancangan yang ingin dilaksanakan pada masa akan datang," katanya.

Selain program sukan, Kelab UMNO Luar Negara juga merancang untuk mempertingkatkan pelbagai aktiviti sosial, kebajikan serta sambutan perayaan.

Kelab UMNO Luar Negara terus melangkah ke hadapan dengan kini mampu membuka sekretariatnya sendiri untuk menguruskan kegiatan kelab-kelab UMNO di seluruh dunia.

Sekretariat ini beribu pejabat di Suite 3.2, Aras 5 Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Ia juga kini telah dibentuk mengikut zon-zonnya tersendiri untuk membolehkan pengawasan dan penyaluran maklumat yang berkesan serta bersepadu.

-- KULN --

No comments: